Jul 8, 2009

豆蔻村民给林冠英的备忘录

30 Jun 2009

Kepada

YAB Lim Guan Eng
Ketua Menteri Pulau Pinang

SELAMATKAN KAMPUNG BUAH PALA DEMI SELAMATKAN KEPERCAYAAN RAKYAT TERHADAP KERAJAAN PULAU PINANG

Kami, penduduk-penduduk Kampung Buah Pala, yang merupakan kampung tradisional yang terakhir di Pulau Pinang, sedang menghadapi ancaman pengusiran oleh pemaju, dan kami menuntut supaya Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang bertindak dengan serta-merta dalam menyelesaikan masalah ini.

Tanah Kampung Buah Pala telah diluluskan kepada pihak pemaju Nusmetro Venture Sdn Bhd dan Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2005 semasa zaman pentadbiran Barisan Nasional. Amat jelas sekali keputusan pindah hakmilik tanah ini telah mengadaikan hak penduduk-penduduk Kampung Buah Pala dan memihak pada syarikat kroni yang hanya mementingkan keuntungan sendiri.

Walaupun kami telah menang kes di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan menghalang pencerobohan oleh pihak pemaju untuk sementara, malangnya keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Mei 2009 dan Mahkamah Persekutuan pada 24 Jun 2009 tidak berpihak pada penduduk-penduduk Kampung Buah Pala.

Kami telah dimaklumkan oleh pihak polis bahawa pihak pemaju akan masuk ke kawasan kami pada 2 Julai 2009. Yang pastinya, pencerobohan dan pengusiran oleh pihak pemaju akan menyebabkan lebih daripada 65 keluarga di Kampung Buah Pala kehilangan tempat kediaman, dan seterusnya menghancurkan sebuah kampung tradisional yang merupakan warisan budaya yang tidak ternilai!

Masalah penduduk-penduduk Kampung Buah Pala adalah berpunca daripada amalan kerajaan Barisan Nasional yang anti-rakyat dan mementingkan keuntungan segelintir kroni. Apakah rasionalnya untuk kerajaan Pakatan Rakyat yang sepatutnya membela rakyat masih berpegang pada keputusan kerajaan Barisan Nasional yang membelakangkan kepentingan rakyat biasa?

Oleh itu, kami menuntut pada pihak YAB dan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang, supaya mengambil tindakan berikut dengan kadar segera:


1.Menarik balik hak milik tanah Kampung Buah Pala daripada pihak pemaju.
2.Menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk mengambil balik tanah Kampung Buah Bala daripada pihak pemaju (sekiranya no. 1 tidak dilaksanakan)
3.Memasukkan kaveat ke atas tanah Kampung Buah Pala untuk menghalang pemaju daripada masuk ke tanah tersebut.
4.Mewartakan tanah Kampung Buah Pala sebagai tanah warisan budaya.


Semua tindakan di atas perlu dilakukan dengan segera supaya kampong halaman kami tidak dihancurkan oleh pihak pemaju yang tamakkan keuntungan diri sendiri.


Kami berharap kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang dapat bertindak secara BERANI dalam membela nasib rakyat biasa dan menghalang syarikat kroni berkepentingan sendiri daripada terus mencabuli hak rakyat.


Selamatkan Kampung Buah Pala bukan sahaja untuk selamatkan ramah halaman rakyat biasa dan warisan budaya Pulau Pinang, malah juga untuk selamatkan kewibawaan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Pulau Pinang serta kepercayaan rakyat ke atasnya!


Sekian, terima kasih.


Daripada,


Pertubuhan Penduduk-Penduduk Kampung Buah Pala


473, Lorong Buah PalaBukit Gelugor, 11700, GelugorPulau Pinang

No comments:

Post a Comment