Jun 6, 2010

Adakah MCA, Gerakan, MIC dan parti ultra kiasu tidak mempertahankan bangsa mereka juga?


Mingguan Malaysia, 6 Jun 2010

Pemuda MCA menyifatkan Majlis Perundingan Melayu (MPM) sebagai primitif atas pandangannya terhadap Model Ekonomi Baru (MEB) minggu lalu. Saya nasihatkan sayap pemuda ini supaya menegurkan pemimpinnya terlebih dahulu, sama ada salah laku moralnya itu primitif atau tidak. Siapakah yang sebenarnya primitif?

Sebenarnya ramai lagi yang terlibat dalam salah laku moral, tetapi nasib masih menyebelahi mereka. Belum ada kamera yang menyintai. Kerana pada mereka berzina itu perkara biasa dan tidak berdosa, asal niat baik untuk berkahwin. Jika yang telah berkahwin, sanggup menyimpan mistress, secara sembunyi dan rahsia, takut diketahui orang. Saya amat bersimpati dengan nasib wanita, mereka sanggup diperalatkan untuk memenuhi nafsu serakah mereka yang mahu menghalalkan zina. Isu sebegini sebolehnya akan ditutup kerana boleh merosakkan imej parti seperti mana yang telah berlaku.

Kini, cara mudah untuk melonjakkan imej parti dengan menyalahkan Perkasa dan MPM, menuduh mereka ultra Melayu termasuk akhbar Utusan Malaysia. Secara tidak langsung memberi isyarat kepada UMNO agar lebih berlonggar dan terbuka. Jangan terlalu melayan tuntutan orang Melayu seperti Perkasa dan MPM. Saya tidak kata semua tuntuan yang dikemukakan oleh Perkasa dan MPM itu mesti diterima Perdana Menteri, tetapi ia mempunyai asas-asas yang kukuh. Bagi mereka yang tidak ultra kiasu, mungkin menganggap tuntutan Perkasa dan MPM perkara biasa, dalam lingkungan hak mereka, di bumi mereka. Tetapi bagi yang ultra kiasu, mereka terasa terancam dan tergugat, walaupun sebenarnya itu bukanlah ancaman ataupun gugatan.

Apakah salah orang Melayu mempertahankan kepentingannya? Adakah MCA, Gerakan, MIC dan parti ultra kiasu tidak mempertahankan bangsa mereka juga? Bila Melayu mempertahankan kepentingan mereka digelar rasis. Namun, bila parti-parti ultra kiasu ini bercakap kepentingan mereka, adakah itu tidak rasis? Jika tidak percaya, cuba ikuti perbincangan dan perbahasan mesyuarat agung mereka. Adakah tidak ada agenda bangsa dibincangkan?

Pada saya, semua bangsa berhak untuk membincangkan agenda bangsa masing-masing sebab itulah politik perkauman Malaysia yang telah bersarang sekian lama. Namun, apa yang selalu saya tekankan, bila mana berlaku pertembungan antara agenda bangsa dengan agenda negara, sudah tentu agenda negara nasional atau agenda Malaysia perlu diutamakan, bukan tertakluk kepada politik perkauman yang sempit.

Rasis masih boleh diterima tetapi jangan memandang rendah kepada bangsa lain sehingga membawa kepada etnosentrik. Saya melihat ada trend yang memandang rendah kepada bangsa lain. Bila sesuatu bangsa itu pandang rendah, biasanya budaya dan bahasa sesuatu bangsa itu turut terpalit sama. Lihat sahaja buletin parti-parti komponen BN, misalnya the Guardian dan berita online mereka. Berita-berita mereka tidak langsung menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar tetapi lebih memilih bahasa Inggeris. Jika adapun artikel bahasa Melayu, ia hanya untuk melepaskan batuk di tangga. Saban kali saya membaca buletin ini. Saya minta orang Islam dan UMNO baca sama untuk mengetahui adalah mereka ini tidak rasis atau mungkin etnosentrik?

Begitu juga dengan buletin parti-parti politik yang lain. Adakah sebenar parti-parti komponen ini mahu mendidik ahli-ahli mereka lebih fasih berbahasa Inggeris daripada bahasa Melayu? Sudah tentu dalam konteks di negara kita berasaskan gagasan 1Malaysia dan perlembagaan persekutuan, bahasa Melayu mesti diutamakan berbanding bahasa lain. Bahasa lain boleh diamalkan tetapi kepentingannya jangan sampai menenggelamkan kepentingan nasional. Ini kerana bahasa kebangsaan adalah bahasa asas bernegara dan asas perpaduan.

MPM hanya mahukan pembelaan ke atas orang Melayu dijaga sama ada dari sudut politik, ekonomi dan sosial. Saya tidak nampak tindakan tersebut primitif? Primitif bermakna kuno dan tidak bertamadun. Persoalannya, adalah kita terlalu bertamadun? Cuba senaraikan ciri-ciri masyarakat yang tidak primitif. Masyarakat yang tidak primitif akan sentiasa menjaga maruah diri. Mereka tidak akan sanggup merosakkan harga diri atau menganiaya orang lain. Jika kita tidak mahu ia berlaku kepada ahli keluarga kita, begitu juga kepada orang lain.

MPM mahukan pemilikan ekuiti atau kekayaan negara berasaskan kepada formula mengikut pecahan penduduk antara Islam, bumiputera dan bukan Islam. Pada saya, desakan ini tidaklah terlalu esktrim. Lagipun desakan ini tidak lagi dapat mengubah penguasaan lebih 70 peratus ekuiti yang telah ada pada orang bukan Melayu. Saya tidak fikir kerajaan akan menarik balik penguasaan selebihnya untuk diberikan kepada orang Melayu. Ekuiti tersebut akan terus kekal untuk generasi mereka. Cuma hari ini, MPM mendesak supaya ditambah dan dibantu orang Islam dan bumiputera kerana mereka masih ketinggalan, walaupun tidak dinafikan ada juga orang bukan Melayu yang ketinggalan.

Strategi MPM ini bukanlah strategi baru. Ia telah diguna pakai oleh parti komponen bukan Melayu dalam BN dan ultra kiasu sejak dahulu lagi. Mereka akan menuntut semaksima yang mungkin atau seultra yang mungkin. Mereka tahu, kerajaan tidak akan memenuhi tuntutan itu ekstrim itu sepenuhnya, tetapi pada masa sama mereka sudah dapat mengagak bahawa kerajaan akan mempertimbangkan juga akhirnya berasaskan semangat 1Malaysia. Jika tidak diberi banyak, akan beri sedikit. Pemberian sedikit sebenarnya adalah satu kejayaan yang paling besar.

Lihat sahaja rombakan kecil kabinet baru-baru ini. Sebenarnya ia adalah kejayaan besar kepada parti MCA yang kejayaan mereka disokong oleh orang Melayu selama ini. Saya tidak fikir orang Melayu Singapura dilayan dan dipercayai dengan sebegitu baik sebagaimana kita yang terlalu bersangka baik. Jawatan-jawatan penting yang mereka minta selama ini dipenuhi oleh PM atas dasar semangat 1Malaysia. Itupun belum ada kepastian bila pilihan raya nanti mereka akan mengundi BN. Cuma janganlah mengambil kesempatan di atas jawatan yang diberikan. Harap-harap Malaysia tidak terus terkenal sebagai pengeksport dan penternak khinzir terbesar di Asia selepas jawatan-jawatan penting diberikan. Negara kita tidak terkenal sebagai pengeksport lembu walaupun yang menggunakannya lebih besar.

Saya kadang kala hairan kenapa desakan dan tuntutan ini menjadikan kerajaan merasa tergugat, dan mula melonggarkan dan membuka polisi, agar semua dapat merasainya secara adil dan saksama yakni sama rata dan sama rasa. Elok juga berikan tumpuan sama ke atas nasib bumiputera di Sabah dan Sarawak yang agak ketinggalan. Saya yakin mereka akan terus memberikan sokongan.

Berbanding di Semenanjung, bila tiba pilihan raya, mereka yang merasaikan semua nikmat yang telah dibuka itu, belum tentu terus mengundi UMNO atau BN. Seperti yang selalu saya sebut, Islam boleh memberikan keadilan kepada bukan Islam, tetapi keadilan itu bukan hanya dalam bentuk sama rata dan sama rasa. Asal-usul, sejarah dan perlembagaan sesebuah negara bangsa mesti diambil kira.

Sepatutnya UMNO perlu mendalami dan mengamati segala tuntutan tersebut, walaupun Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang adalah sesuatu yang kritikal untuk UMNO. Saya mencadangkan lebih baik UMNO bertegas dari sekarang. Jika kalahpun, kalah dengan bermaruah. Itu lebih baik daripada kalah, tetapi pada masa yang sama hilang maruah dan kepercayaan. Masa masih ada lagi, belum terlambat untuk berubah.

UMNO perlu membuat koreksi diri. Tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh MPM hendaklah diteliti. Begitu juga dengan parti-parti dan NGO-NGO lain. Jika boleh, buatlah perbandingan dengan negara-negara lain. Adakah negara lain langsung tidak ada dasar afirmatif seperti negara-negara barat dan timur. Apakah Amerika Syarikat begitu baik dalam menguruskan negara mereka sehingga langsung tidak ada dasar afirmatif sebagaimana terma rujukan kumpulan ultra kiasu ini? Setelah membaca buku Huntington, barulah saya memahami kedudukan Amerika sebenarnya. Justeru, saya ingatkan ultra kiasu, supaya kurangkan kelentong, banyakkan fakta.

UMNO tidaklah perlu terlalu bimbang takut akan kehilangan banyak kerusi pada pilihan raya akan datang. Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika ditakdirkan BN gagal menambah kerusi dalam PRU 13 dan hanya mendapat 50 peratus kerusi misalnya, ketika itu siapakah yang bakal menjadi pemimpin negara ini?

Saya merasakan ketika itu peranan PAS akan menjadi faktor penentu. Saya tidak fikir PAS akan memberikan laluan kepada pemimpin parti ultra kiasu untuk menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Kecuali jika sekutu kuat ultra kiasu yang kini memerintah Selangor menang. Saya yakin di hati PAS masih ada UMNO, bukan yang lain. Lihatlah apabila ultra kiasu memerintah Singapura, adakah mereka memberi laluan atau melantik orang Melayu menjadi Timbalan Perdana Menteri, walaupun mereka lebih dari layak untuk menduduki jawatan tersebut termasuk jawatan nombor satu.

Mungkin hari ini PAS masih ada pilihan. Saya yakin satu hari nanti PAS mungkin tidak ada pilihan. PAS perlu memilih satu antara dua. Saya yakin percikannya juga turut dirasai oleh parti ultra kiasu dan sekutunya. Mereka masih ragu-ragu apakah PAS akan terus menjadi rakan yang setia kepada mereka. Pada saya, mungkin sekarang ya. Tetapi belum tentu lagi untuk pada masa akan datang.

Saya amat yakin, parti ultra kiasu inipun tidak percaya sepenuhnya kepada PAS. Cuma mereka tidak ada pilihan buat masa ini. Jika ada pilihan sudah lama mereka tendang PAS keluar daripada pakatan. Saya ingin mengingatkan PAS supaya berhati-hati. Jika cita-cita PAS untuk mendirikan negara Islam, rakan mereka bukan ultra kiasu, tetapi UMNO. Sebenarnya di kalangan rakyat marhaen UMNO, terlalu ramai yang mahukan Islam dan negara Islam. Cuma buat masa kini, belum lagi menjadi realiti sepenuhnya walaupun telah diisytiharkan. Bukan kerana UMNO tidak mahukan Islam, mereka mahu, tetapi masih ada segelintir yang belum faham. InsyaAllah akan tiba masanya mereka akan faham. Jangan putus asa.

Sama juga seperti PAS, merekapun masih belum berupaya dan belum berjaya untuk memberikan kefahaman kepada rakan sekutunya. Mungkin alasan PAS bahawa UMNO yang memerintah kerajaan pusat yang menghalang mereka untuk membentuk negara Islam di Kelantan. Tetapi jika dilihat secara lebih telus, sebenarnya pun PAS masih belum bersedia. PAS masih tidak mampu untuk menegur Menteri Besar Selangor untuk melaksanakan Islam di Selangor.

Kenapa? Ini disebabkan oleh perlaksanaan Islam memerlukan masa. Kajian yang rapi. Tenaga kerja yang pakar dan sebagainya. Banyak bukti menunjukkan negara Islam yang cuba melaksanakan Islam gagal dari segi perlaksanaan kerana kekurangan sumber dan kepakaran.

Justeru, saya menyarankan supaya PAS lebih mempercayai orang Islam daripada sekutunya ultra kiasu. Kita juga perlu bersatu secara senyap seperti parti dan NGO bukan Islam. Kadangkala saya amat kasihan dan simpati dengan UMNO. Hanya UMNO satu-satu parti dalam kerajaan yang mempertahankan kepentingan Melayu dan Islam dalam kerajaan berbanding dengan bangsa lain yang diwakili oleh berbagai parti. Lihat sahaja isu biasiswa JPA. Semua parti Cina dan India bersatu dan mendesak kerajaan supaya calon mereka yang “cemerlang” yang tidak disenaraikan JPA dipertimbangkan semula. Bumiputera Sabah Sarawak masih belum bersuara, inilah sikap yang saya puji. Persoalannya, siapakah yang mempertahankan hak Islam dan calon Melayu yang tidak mendapat biasiswa dengan bilangannya tidak kurang yang cemerlang tetapi nasib tidak menyebelahi mereka?

Saya tidak pasti sama ada nasib Melayu Islam dan bumiputera terbela atau tidak. Namun, yang pasti nasib orang lain tetap akan diberikan perhatian dan pembelaan. Inilah hakikat yang terpaksa kita terima dalam keadaan politik yang tidak menyebelahi kita. Umat Islam hanya berkata “tak apa, nak buat macam mana, yang penting mereka mengundi kita”. Hakikatnya belum tentu lagi. Kita hanya memikirkan soal undi dan bukan hak kepada yang berhak yakni meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Seperti yang selalu saya katakan, bila ada isu menyebelahi mereka disenyapkan, manakala jika ada terkurang, heboh satu Malaysia. Kaduk sudah naik junjung. Suara mereka sejak akhir-akhir ini sudah seperti ultra kiasu, maklumlah bersatu dalam senyaplah katakan.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

转载:Ridhuan Tee 部落

1 comment:

  1. "...penguasaan lebih 70 peratus ekuiti yang telah ada pada orang bukan Melayu"
    大马9大主导银行,华资银行只有两间,这个家伙选择行沉默?

    “Harap-harap Malaysia tidak terus terkenal sebagai pengeksport dan penternak khinzir terbesar di Asia selepas jawatan-jawatan penting diberikan”..
    中国养的猪比我们少啊?他会数学吗?

    “cuba ikuti perbincangan dan perbahasan mesyuarat agung mereka”
    马青,民青,社青团的常年代表大会,有试过举关刀,而且还怕死全世界没有人知道这样,还要现场直播那种...??

    "Semua parti Cina dan India bersatu dan mendesak kerajaan supaya calon mereka yang “cemerlang” yang tidak disenaraikan JPA dipertimbangkan semula"
    有多少个土著全科A但是拿不到奖学金,历年来全A的非土著失败的又有多少个?一甲子了,如果有保存资料,希望马青邮寄一份名单给这位“博士”...!!!!

    UKM振豪..

    ReplyDelete